Tuesday, May 23, 2017

Mari kenali jenama processor dalam smartphone anda!

Pengenalan
Bila kita bercakap mengenai smartphone baik dari pelbagai brand atau jenama sekalipun, perkara pertama yang selalu kita akan mahu ketahui ialah laju ke smartphone ni, power ke smartphone ni, tak jadi lembab ke bila dah macam-macam apps kau install dalam smartphone ni? Dah jadi kebiasaan. Kita bukan bercakap mengenai perkara teknikal yang ada dalam smartphone itu tetapi kemampuan secara zahir dengan apa yang kita rasai dan lalui apabila menggunakan smartphone tersebut. Ok..itu pun dah kira satu step untuk kita hampirkan diri bagi memahami lebih lanjut mengenai features sesebuah smartphone. Kerana apa? Kalau kita sendiri yang beli smartphone di kedai peralatan telekomunikasi, kita sendiri akan dapat feel bila memegang dan testing device tersebut secara fizikal. Akan tetapi bila kita beli secara atas talian atau online, macam mana kita nak tahu ianya betul-betul power dan pantas seperti kehendak kita? Oh..kita baca spec terlebih dahulu, dari atas sampai ke bawah page website tersebut kita scroll cuba fahamkan apa kelebihannya. Yang kita nak tahu power ke tak smartphone ni? Harga dah ribu-ribu, takkan tak power yer dak? Dan satu lagi kita akan lihat video review di Youtube berkenaan smartphone tersebut.

Aha.. maknanya, kita juga tak boleh ambil mudah sesuatu perkara berkenaan smartphone ini. Maka kita perlulah memahami beberapa terma teknikal sebelum menjunam buat satu konklusi berkenaan smartphone tersebut. Dari segi apa? Baik..kali ini penulis akan cuba membawa anda semua untuk mengenali 'the heart of a smartphone' yang membuatkannya beroperasi mengikut spec yang berbeza-beza dari setiap sudut performance. Itulah dia CPU atau Processor. 

Sebuah Permulaan
Seperti juga sebuah komputer laptop atau desktop, ianya dipacu oleh Central Processing Unit yang bertindak sebagai otak kepada keseluruhan pengoperasian sistem komputer tersebut. Tanpanya tak mungkin komputer dapat beroperasi bagi menjalankan kepelbagaian arahan mengikut kehendak pengguna yang menggunakannya. Begitu juga dengan otak manusia yang bertindak sebagai CPU bagi keseluruhan pengoperasian sistem tubuh badan kita. Tanpanya, tak mungkin manusia akan boleh melakukan pelbagai aktiviti harian.

!!! INFO !!!
Perlu untuk kita ketahui, walaupun penulis mengatakan bahawa CPU itu umpama otak akan tetapi ianya dipacu oleh tahap kelajuan berbeza mengikut spesifikasi tertentu.

Dan hari demi hari processor bagi smartphone semakin mantap dari segi performance, better power consumption, pengecasan bateri dengan pantas, tahap penggunaan yang lebih lama, kemampuan merakam video UHD 4K dan pelbagai lagi. Itu belum lagi cerita mengenai saiz fizikal sekeping processor. Ketahuilah bahawa sekarang ini saiz sekeping mobile processor yang maju adalah lebih kurang sama besar saiznya dengan duit syiling 10 sen atau 20 sen. Kemudian kita dikenalkan pula oleh terma seperti 'cores' dalam processor. Pada mulanya bermula dengan Single core, kemudian datang pula Dual core, dan sekarang ini kita dah ada Quad core, Hexa core dan juga Octa core. Apakah sebenarnya terma teknikal 'cores' ini dalam sekeping CPU smartphone anda? Nanti penulis akan tulis mengenainya..dalam entri yang lain ya! ;)



Bahagian kiri, Snapdragon 820, sementara di sebelahnya ialah Snapdragon 835. Duit 10 sen pun tak kecil macam ni.

Jadi, mari kita kenali beberapa brand yang terkenal dalam pembikinan processor sesebuah smartphone.

1. Qualcomm Snapdragon

Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Qualcomm Technologies ialah sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang sangat aktif bergiat dalam pembangunan teknologi berkaitan semikonduktor bagi rekabentuk peranti smartphone, tracking devices, telefon satelit, Virtual Reality, wireless charging, komunikasi dsb. Pada peringkat awal kemunculan Qualcomm Technologies dalam industri telekomunikasi ialah apabila mereka memperkenalkan teknologi CDMA di pasaran global. Sejak dari itu syarikat ini terus dikenali ramai dan melangkah maju ke hadapan dengan membangunkan mobile processor Snapdragon dan juga modem LTE. Snapdragon dikatakan popular dengan dakwaan yang mengatakan bahawa mereka adalah syarikat pertama yang mengeluarkan mobile processor berkelajuan 1 GHz di mana kebanyakan smartphone lain dalam pasaran pada ketika itu hanya berkelajuan 512 MHz. Dan bermula dari tahun 2005, Snapdragon telah mengeluarkan pelbagai siri processor iaitu S1, S2, S3, S4, S200, S400, S600 dan S800. Dan pada tahun berakhir 2016, syarikat ini telah memutuskan untuk membangunkan chip pada siri S800. Ianya bermula dengan S800, S801, S805, S808, S810, S820 dan terkini ialah S821.

Kemudian Qualcomm mengumumkan chip terbaru iaitu S835 yang akan berada di pasaran sekitar suku pertama 2017. Saiz chip S835 adalah kecil sedikit saiznya berbanding dengan S821 iaitu berukuran 14 nanometer. S835 pula berukuran 10 nanometer, walaupun agak kecil berbanding S821 tetapi chip ini didatangkan dengan kelebihan seperti performance yang menjangkau 27 peratus lebih laju, penggunaan power kurang dari 40 peratus dan telah dikecilkan saiz fizikal sebanyak 30 peratus. Selain dari itu chip ini juga  dilengkapi dengan teknologi Quick Charge 4.0 untuk mengecas bateri lebih cepat sekitar 5 hingga 10 minit dan mampu untuk bertahan pada 1 hari penggunaan oleh pengguna. Antara smartphone yang menggunakan chip Snapdragon 821 ialah seperti Google Pixel, Google Pixel XL, Asus Zenfone, OnePlus 3T, Xiaomi Mi 5s, Xiaomi Mi 5s Plus, LeEco Le Pro3. Haa..pernah ke dengar jenama LeEco tu? Kalau tak cubalah klik link jenama smartphone tu eh.

Kelebihan dan Kekurangan processor Qualcomm Snapdragon

Chip processor ini sangat popular di kalangan pengusaha smartphone dan juga tablet kecuali Apple. Kerana kelebihan Snapdragon ini adalah dari segi performance yang begitu baik apabila melaksanakan arahan multitasking dan sangat sesuai untuk mereka yang minat main game dengan smartphone. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Adreno grafik yang terbina dalam chip ini. Dipendekkan cerita, chip Snapdragon memang agak mahal berbanding processor yang lain.

2. Apple Mobile Processor

Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Perlu untuk kita tahu bahawa Apple tidak menghasilkan sebarang microprocessor. Mereka hanya jalinkan kontrak dengan manufacturer seperti Samsung dan TSMC untuk bangunkan processor yang mengikut design dan performance dan bersesuaian dengan kehendak mereka. Cuba kita lihat chip A9 sebagai contoh, processor berukuran 14nm tersebut dibangunkan oleh Samsung sementara versi satu lagi berukuran 16nm dibangunkan oleh TSMC. Kita baca lagi pelbagai versi chip processor untuk apple ini di bawah:

Apple A series merupakan processor yang digunapakai dalam iPhone, iPad Touch dan Apple TV. Antara beberapa processor dalam siri ini adalah seperti A4, A5, A6, A7, A8, A8X, A9, A9X dan A10. Yang terkini ialah A11 untuk dimuatkan dalam iPhone 8.

Apple A10 Fusion adalah processor yang dimuatmasuk ke dalam iPhone 7 dan juga iPhone 7 Plus. Chip ini berukuran 16 nanometer dengan pacuan kuasa kuda Quad Core (empat core) berkemampuan pada kadar kelajuan 2.4GHz. Turut serta on board pada chip ini adalah GPU dengan enam kuasa kuda (Hexa core) dan menurut Apple, A10 adalah 2x ganda lebih pantas dari sudut perfomance serta peningkatan sebanyak 50% pada pemprosesan unit grafik. (GPU) Seperti biasa chip ini dibangunkan oleh TSMC.

Kemudian, Apple S series adalah processor yang direkabentuk bagi kegunaan Apple Watch. Antara beberapa processor dalam kategori ini adalah seperti Apple S1, Apple S1P dan Apple S2. Produk yang diberi nafas dengan Apple S2 ialah Apple Watch Series 2. Pengeluar bagi processor ini ialah Samsung di bawah kontrak perjanjian dengan Apple.

Selain daripada itu, Apple W Series merupakan processor yang digunapakai dalam wireless audio connectivity. Ianya dimuatmasuk ke dalam produk Apple iaitu AirPods dan juga wireless headphone.

Apple T series merupakan chip yang direkabentuk dan digunapakai pada sensor TouchID dalam Macbook Pro terbaru. Sehingga kini versi yang dikeluarkan ialah Apple T1.

3. Intel Atom and Core M processors

Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Hampir semua orang mengetahui bahawa Intel adalah syarikat Amerika yang sinonim dengan pembuatan microprocessor untuk PC. Namun Intel Atom adalah jenama bagi kegunaan smartphone dan juga tablet yang mana ianya merujuk kepada chip yang direka khas dengan low power consumption pada kadar kos yang rendah dan dikeluarkan dalam 2 versi iaitu 32 bit dan 64 bit.  Walaupun architecture CPU Intel berasaskan sistem X86 dan lebih berkuasa berbanding ARM, tetapi kelemahan ketara pada chip ini ialah memakan lebih kuasa berbanding chip dalam ARM. Akan tetapi kebanyakan processor Intel masa kini telah banyak peningkatan pada aspek power consumption sekitar 5 watt di mana ianya bersesuaian pada semua peranti mobile. Kalau dahulunya processor Atom ini hanya menyokong sistem Windows, tetapi ianya telah berubah masa kini kerana telah banyak menyokong sistem operasi utama.

Processor Atom masa kini ialah Atom X5 dan X7. Kedua-dua chip ini berteraskan 64 bit dengan kuasa kuda Quad core (empat core) pada ukuran 14nm beserta kelajuan sehingga 1.6 GHz dan boleh scaled up sehingga berkelajuan 2.4 GHz. Selain dari itu Intel juga mengeluarkan microprocessor Intel Core M dengan voltage berkuasa rendah untuk digunakan pada notebook saiz ultra nipis, peranti mobile dan juga peranti 2 dalam 1 yang boleh bertindak sebagai laptop dan juga tablet. Kelebihan processor ini ialah pada penggunaan power consumption yang rendah iaitu sekitar 4.5 watt atau kurang daripada itu lantas memanjangkan jangka hayat bateri untuk tahan lebih lama berbanding biasa. Kedua-dua chip ini adalah dual core dengan kelajuan antara 1.5 GHz yang boleh scaled up sehingga 3.2 GHz. Chip ini juga menawarkan peningkatan performance pada CPU dan graphic sehingga 40% berbanding versi yang sebelumnya.

Processor Atom disokong oleh semua pengeluar produk berkaitan ICT telekomunikasi. Yang terkini digunakan oleh syarikat yang membangunkan tablet seperti Micsrosoft Surface, Asus, Dell, Lenovo, HP. Manakala pada tahun 2016 pula Asus Zenfone merupakan satu-satunya jenama smartphone yang menggunakan processor Atom. Kenapa? Kalau ada masa nanti penulis ceritakan yer. Antara lain dalam platform ini ialah Apple Macbook 12 inci dan HP Chromebook juga turut menggunakan Core M Processor pada produk mereka.

4. Nvidia Tegra

Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Mereka yang memang ICT Tech-Savy tidak perlu diperkenalkan lagi apakah hebatnya Nvidia dalam dunia komputer. Ya..Nvidia merupakan sebuah kompeni di Amerika yang specialize dalam pembangunan unit pemprosesan grafik, video games dan juga peranti mobile. Mereka menggunakan branding Tegra untuk membangunkan chip bagi smartphone, tablet dan juga peranti mobile.

Processor ini dibangunkan dalam teras 64 bit dan dientegrasikan pada kerangka ARM. Antara beberapa processor Tegra yang telah dikeluarkan seperti Tegra 3, Tegra 4, Tegra 4i, Tegra K1 dan Tegra X1. Pada tahun berakhir 2016, Tegra X1 merupakan chip paling termaju dalam pasaran. Ia dipacu oleh empat kuasa kuda quad core dengan 256 GPU cores berkemampuan pada resolusi video bersaiz 4K. Chip ini berukuran 20 nanometer dan pada masa kini ianya digunakan pada Nvidia SHIELD Android TV.  

Antara processor jenama Tegra yang digunakan dalam smartphone dan tablet ialah Tegra 4, Tegra 4i dan Tegra K1. Berikut ialah senarai detail:
  • Tegra 4 - Asus Transformer PAD, HP Slatebook, Toshiba Excite, Xiamo Mi3, XOLO Play Tegra Note
  • Tegra 4i - Blackphone
  • Tegra K1 - Nvidia Shield Tablet, Google Nexus 9, Acer Chromebook 13 dan 14 inci, Navi Big Tab
Dikatakan bahawa Nvidia telah mengumumkan chip terbaru iaitu Tegra P1 dan Nvidia Xavier bagi keluaran tahun 2017. Kedua-dua chip ini dikuasakan dengan Hexa core dan Octa core pada platform berukuran 16 nanometer.

Kelebihan dan Kekurangan Nvidia Tegra

Kalau dalam mobile gaming Nvidia Tegra consider the best! Sebab apa? Kerana processing graphic  mereka adalah antara yang terbaik di kalangan mobile processor. Akan tetapi kelemahan ketara pada chip ini adalah mempunyai rekod yang kurang baik terhadap janaan haba dan prestasi bateri.  Diharapkan model lain yang sedang dalam proses pembangunan akan dapat mengatasi masalah yang disebutkan sebentar tadi. Harganya pun agak mahal berbanding processor lain.

5. MediaTek


Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Kompeni MediaTek ialah sebuah syarikat semikonduktor dari Taiwan yang membekalkan chip untuk peranti mobile, HDTV dan pelbagai peralatan elektronik. Processor keluaran MediaTek dibina pada teras 64 bit dalam kerangka ARM. Untuk pengetahuan anda, chip terkini MediaTek menyokong sehingga kelajuan 3 GHz dan didatangkan dengan pelbagai variasi cores seperti Dual Core (2 core), Quad Core (4 core), Hexa Core (6 core) dan Deca Core (10 core). Antara processor terkini MediaTek ialah Helio X20 dan Helio X25 yang dimuatmasuk ke dalam smartphone. Chip ini sangat popular di kalangan pengeluar smartphone dari China iaitu Xiaomi, Meizu, LeEco Le, Yu dsb. Antara tablet yang turut menggunakan chip MediaTek ialah Acer, Asus, Lenovo, Amazon Fire HD dan QMobile.

Chip terbaru dari MediaTek bagi keluaran tahun 2017 ialah Helio X30 dan Helio X27. Kedua-dua processor ini berukuran 10nm dan 20nm dan dikuasakan dengan 10 kuasa kuda (deca core). Sebagai contoh Helio X30 berkuasa kuda 10 core (deca core) dalam sekeping CPU. Tetapi pada chip tersebut terbahagi kepada 3 cluster yang unik iaitu:
  • Featuring a unique 10-core design over three clusters: dual-core ARM Cortex-A73 up to 2.5GHz, quad-core ARM Cortex-A53 up to 2.2GHz and quad-core ARM Cortex-A35 up to 1.9GHz.
  • MediaTek Helio X30 meningkatkan prestasi sehingga 35% dan menjimatkan kuasa sehingga 50% bebanding MediaTek Helio X20.
Jadi, anda semua nampak tak macam mana kompeni MediaTek ini menghasilkan sekeping chip deca core dengan gabungan dari kerangka ARM? Sangat hebat pada ketika ini. Nak dapatkan pengiraan 10 core daripada 3 cluster itu begini caranya: Dual core = 2, Quad core = 4. Jadi ada 2 Quad core dalam chip ini, maka Dual core (2) + Quad core (4) + Quad core (4) = 10 core (Deca core). Mudah bukan? Baik anda fikir macam mana nak jadi jutawan smartphone dari sekarang. :) 

p/s: sama juga dengan chip octa core. Kita pun boleh panggil dengan nama lain iaitu dual quad core. ;)

Kelebihan dan Kekurangan Chip MediaTek

Processor terkini dari MediaTek didatangkan dengan begitu banyak cores dimasukkan ke dalam sekeping chip. Apabila digabungkan dengan bilangan RAM yang mencukupi, kita boleh expect smartphone tersebut boleh handle multitasking dengan mudah beserta pemprosesan power yang baik. Lagi satu, GPU PowerVR MediaTek adalah lebih baik berbanding processor yang lain. Jika nak dibandingkan perbezaan heat production antara MediaTek dan Qualcomm, MediaTek hasilkan heat dengan jumlah rendah berbanding counterpart mereka. Jadinya..kalau nak cuba sesuatu yang berlainan daripada biasa, cubalah pakai smartphone yang dilengkapi dengan chip Helio X30. Mungkin harganya murah sedikit berbanding smartphone lain yang menggunakan chip Snapdragon tapi performance mungkin juga akan sama. Sekarang ini smartphone yang dilengkapi dengan Helio X30 ialah Vernee Apollo 2, Meizu Pro 7, dan Doogee Mix.

6. HiSilicon



Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Syarikat dari China ini mengkhusus kepada kepakaran teknologi semikonduktor dan Huawei adalah pemilik bagi HiSilicon yang merupakan syarikat litar bersepadu domestik terbesar di negara China.  Pun begitu, kompeni ini juga membuat chip berdasarkan kerangka ARM. Antara processor yang dikeluarkan oleh HiSilicon adalah seperti K3V1, K3V2, K3V2E, Kirin 620, Kirin 650, Kirin 910, Kirin 920, Kirin 930, Kirin 950 dan Kirin 960. Sementara smartphone yang diberi nafas dengan Kirin 950 adalah seperti Honor 8, Huawei mate 8, Huawei MediaPad M3. Manakala smartphone yang dimuatmasuk dengan Kirin 960 pula adalah seperti Huawei Mate 9, Huawei Mate 9 Pro, Huawei Honor V9, Huawei P10, Huawei P10 Plus, Huawei Honor 8 Pro, Huawei Honor 9. Chip 960 ini dibina atas teras 64 bit pada kerangka ARM dan berukuran 16nm pada teknologi FinFet. Kelajuan chip 960 dengan kuasa kuda Octa core boleh mencecah sehingga  2.4 GHz. GPU pada Kirin 960 adalah dari teknologi ARM dan dikatakan 180% lebih laju berbanding pesaingnya. CPU ini juga memastikan bahawa keadaan bateri smartphone bertahan lebih lama dan juga peningkatan performance pada speed upload dan download dengan LTE. Dikatakan juga bahawa chip ini lebih powerful berbanding Apple A10 Fusion atau Snapdragon 820 dan 821.

7. Samsung Exynos



Sumber imej dari http://atechjourney.com/list-of-smart-phone-and-tablet-mobile-processors.html/

Exynos ialah brand dari Samsung Electronics yang membangunkan processor berasaskan kerangka ARM. Antara beberapa chip dalam siri ini ialah Exynos 7 Dual, Exynos 7420, Exynos 7 Octa 7580, Exynos 7 Octa 7870. Ketika ini, Exynos 8 Octa 8890 merupakan chip yang dibekalkan dengan kuasa kuda Octa Core pada teras 64bit dalam kerangka ARM beserta dengan GPU Mali yang juga dari ARM. Pemprosesan chip ini mampu mencapai kelajuan sehingga 2.3 GHz dengan menyokong 3D gaming, resolusi video UHD 4K dan pelbagai lagi. CPU ini dibangunkan pada ukuran teknologi 14 nanometer. Antara smartphone yang dimuatmasuk dengan Exynos 8 Octa 8890 adalah seperti Samsung Galaxy S7, Samsung Galaxy S7 Edge, Samung Galaxy Note 7 dan juga Meizu Pro 6 Plus. Sementara chip paling terkini dari Samsung ialah Exynos 9 Series (8895).

Rumusan
Siapalah penulis ini mahu membuat rumusan mengenai chip processor pada smartphone. Dahlah menggunakan Zenfone 2 tapi mahu buat rumusan pada Snapdragon 835, Helio X30, Kirin 960, A11, Exynos 9 dsb. Berbekalkan minat yang mendalam terhadap bacaan luar dari kebiasaan, apa yang penulis dapat simpulkan di sini mengenai CPU smartphone yang semakin maju dan pantas adalah, tidak kira anda sebagai pengusaha smartphone, perkara penting yang sentiasa dijadikan penekanan terhadap pembangunan sesebuah chip adalah; jika processor itu terbukti laju, bagaimanakah pula caranya untuk mengurangkan power consumption tanpa mengorbankan perfomance dan juga jangka hayat penggunaan yang lebih lama berserta durasi pengecasan yang lebih cepat dan juga ketahanan bateri untuk tahan lebih lama akibat kesekian kalinya mengecas smartphone tersebut. Dah macam design statement pulak penulis nukilkan tadi. ;)

Tapi itulah dia..sehebat mana teknologi CPU smartphone ini berkembang pantas, seiring itu jugalah sepatutnya hal-hal yang saya sebutkan di atas itu tadi perlu ditekankan agar peranti mobile yang kita gunakan itu lebih tahan lama dan relevan untuk satu jangka masa yang tidak boleh ditentukan oleh pengguna biasa seperti anda dan saya sebagai penulis. Kerana sekarang ini apa yang penulis sering perhatikan dari pelbagai jenama smartphone rakan-rakan di pejabat, kebanyakan mereka akan sentiasa mengecas smartphone dengan power bank atau charger. Samada smartphone itu dalam keadaan idle atau tidak disentuh langsung, bateri tetap draining dengan cepat.

P/S: YA..kerana itu pembikinan sesebuah chip dengan multiple core disertai dengan 2 tugas berbeza. Sebagai contoh Octa core processor. 4 core yang pertama untuk high performance, manakala 4 core yang kedua kecekapan yang lebih baik. Jadi macam mana smartphone nak tentukan mana satu high performance dan mana satu better efficiency? Kalau anda semak emel dan sms maka tidak perlukan pun high performance. Tapi bila korang main game, dekat situlah high performance core akan digunakan untuk  prestasi yang baik. Itulah yang dinamakan sebagai heterogeneous multi-processing, di mana tidak setiap core adalah sama.


Mari kita lihat penyataan heterogeneous multi-processing di atas dalam bentuk video oleh ARM. Sangat mudah untuk difahami.


Jeffri Rahman
Producer | Cinematographer | Blogger

So, macam mana korang nak decide beli smartphone lepas ni? Adakah beli ikut jenama atau ikut tech spec yang penulis sertakan ini? Apa, tengok bajet? Ok..ok..penulis faham hal ni. Tapi itulah dia serba sedikit yang dapat dikongsikan bersama anda semua. Terima kasih yer!


Share:

4 comments: