Thursday, November 17, 2016

Kini Semua Orang Boleh Jadi Selebriti...tak percaya ke?

Assalamualaikum..apa khabar semua para pengunjung blog cubitsanasini.blogspot.my. Penulis harap u olls semua dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Kali ini penulis ingin lari sikit daripada topik kebiasaan dalam blog ini. Kerana dari pemerhatian penulis terhadap penggunaan media sosial dengan kerap, penulis dapati ada perkara yang menarik boleh dikongsikan bersama u olls semua. Yer..itulah dia faktor WOW orang yang biasa-biasa bukan selebriti, tetapi mampu jadi popular seperti selebriti terkenal tanahair. Dalam masa yang singkat dah boleh jadi famous ngetop! Kenapa agaknya? Macam mana dia boleh dapat faktor WOW seperti selebriti sedangkan evolusi cara manusia berkomunikasi mengambil masa yang begitu lama untuk membangun dan berkembang maju sehingga menjadi kompleks dan semakin moden seperti sekarang ini. Apakah rahasia di sebalik semuanya ini.

Sejarah Media Sosial: Dulu dan Sekarang
Kewujudan media sosial telah lama berakar umbi dalam kehidupan manusia secara umumnya. Walaupun laman atau apps yang popular seperti facebook kedengaran seolah-olah trend baharu, ia adalah kesan secara langsung perkembangan media sosial sejak berabad lamanya.

Media Sosial Sebelum Tahun 1900
Kaedah terawal komunikasi pada jarak yang jauh adalah mengutuskan surat secara serahan tangan dari seorang ke seorang yang lain. Bentuk perkhidmatan pos terawal ini telah bermula sekitar 550 B.C. yang lalu dan sistem penghantaran ini akan berkembang lebih meluas lagi dan diselaras pada masa-masa akan datang.

Ericsson Telegraf: Sumber dari Wikimedia

Pada tahun 1792 pula, telegraf telah dicipta dan ini membolehkan pesanan dihantar melangkaui jarak yang jauh dan lebih cepat berbanding menunggang kuda dan penunggang yang membawa pesanan tersebut. Walaupun pesanan telegraf adalah pendek, ia merupakan suatu revolusi dalam penyampaian maklumat dan berita.
 
Tube Post: Sumber dari Smithsonian National Postal Museum 

Satu lagi keadah komunikasi yang pernah dibangunkan pada tahun 1865 dahulu ialah pneumatic post atau tube post. Ia merupakan cara atau kaedah lain untuk menghantar surat dengan cepat kepada penerima. Kaedah tube post ini menggunakan tiub bertekanan udara bawah tanah  untuk membawa kapsul dari satu tempat ke tempat yang lain.



Pneumatic Mail: Sumber dari Dailymail.co.uk

Terdapat dua penemuan penting bersejarah pada akhir dekad 1800 iaitu telefon (1890) dan radio
(1891). Kedua dua peralatan tersebut masih digunakan lagi hinggalah sekarang dan ianya semakin canggih hari demi hari selaras dengan perubahan teknologi yang semakin pesat. Talian telefon dan isyarat radio membolehkan manusia berkomunikasi serentak merentas benua, sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini.


Media Sosial Abad ke 20
Teknologi mula berubah dengan begitu pesat pada abad ke 20 setelah superkomputer pertama dicipta pada tahun 1940 di mana saintis dan jurutera mula membangunkan kaedah bagaimana komputer boleh dirangkaikan antara satu sama lain sehingga kemudiannya lahirlah internet.

Antara nama besar terawal dalam rangaian internet ialah CompuServe yang dibangunkan pada tahun 1960an. Emel juga dibangunkan pada tahun tersebut. Pada tahun 70an pula telah menampakkan peningkatan dalam rangkaian komputer lalu pada tahun 1979, UseNet membolehkan pengguna untuk berkomunikasi melalui berita secara maya. Manakala pada tahun 80an penggunaan komputer di rumah semakin menjadi kebiasaan dan media sosial jadi semakin kompleks. Internet relay chats atau IRC mula digunakan kali pertama pada tahun 1988 dan berterusan popular hinggalah tahun 90an.

Laman media sosial pertama dikenali ialah Six Degrees yang dibangunkan pada tahun 1997 dengan membolehkan pengguna untuk memuat naik profail dan berkawan dengan pengguna lain. Dan pada tahun 1999, laman blogging pertama iaitu Blogger menjadi popular lalu membuatkannya jadi semakin sensasi sehinggalah ke hari ini.


Blog pertama di internet: Sumber daripada Guff.com


Emel pertama dihantar di internet: Sumber daripada Guff.com

Video pertama di Youtube. Sekarang dah jadi billionaire! Sumber daripada: Guff.com



Sixdegrees merupakan media sosial online pertama dunia: Sumber dari Guff.com

Media Sosial Pada Hari Ini

Penggunaan media sosial semakin popular di kalangan masyarakat selepas penemuan blog suatu ketika dahulu. Antara laman sesawang yang mula terkenal pada awal tahun 2000 adalah seperti LinkedIn dan MySpace berserta Photobucket dan Flickr yang memberi kemudahan foto sharing secara online. Kemudian pada tahun 2005, Youtube pula membawa perubahan besar dalam dunia internet melalui cara manusia berkomunikasi dengan berkongsi video secara online  antara satu sama lain tidak kira di mana jua anda berada.

Terkait dengan hal itu, muncullah pula Facebook dan Twitter pada tahun 2006 kepada seluruh pengguna di pelosok dunia dan berterusan popularitinya hinggalah ke saat ini. Antara laman sesawang lain yang turut tumbuh bak cendawan rentetan daripada kemunculan kedua-dua media sosial tersebut adalah seperti Tumblr, Spotify, Foursquare dan Pinterest. Setiap laman sesawang tersebut ada fungsi spesifik kepada pengguna sasaran mereka.

Akhirnya, pada hari ini terdapat pelbagai laman media sosial yang boleh dirangkaikan secara silang platform bagi memudahkan pengguna untuk membuat posting terbaru tanpa perlu mengupdate status pada setiap platform yang tersebut, lantas dapat memaksimumkan jumlah pengguna di serata dunia. Kita sendiri tidak ada jawapan tepat apakah masa depan media sosial pada dekad atau abad akan datang. Akan tetapi  amat jelas sekali kewujudan media sosial ini akan berterusan selagi manusia masih hidup di muka bumi ini.

Pengaruh media sosial dalam kehidupan seharian

Jadi, setelah anda fahami bahawa evolusi komunikasi mengambil masa yang begitu lama untuk membangun dan berkembang maju seperti apa yang ada sekarang ini. Tanpa adanya masalah  berkenaan cara untuk mengirim pesanan kepada individu yang lain di satu lokasi yang lain suatu ketika dahulu, tidak mungkin teknologi yang kita ada sekarang ini wujud bagi memudahkan komunikasi jarak jauh jadi dekat antara satu sama lain. Tidak mungkin akan ada pengguna media sosial dari kalangan orang-orang biasa tapi mampu untuk kelihatan luar biasa dengan adanya media sosial. Segalanya nampak dipermudahkan. 

Tetapi setelah adanya bentuk media sosial yang pelbagai sekarang ini dengan berjuta pengguna di serata dunia, bagaimana kita mampu mengawal mereka dari mengeluarkan atau muatnaik status yang bersifat kotor, jijik, boleh membawa kepada perpecahan kaum dan sebagainya. Ianya memberikan gambaran bahawa siapa yang dapat banyak "Like" dia akan viral dalam media sosial dengan sekelip mata. Berbeza dengan zaman dahulu.

Di zaman serba moden dan canggih ini, nampaknya hampir kebanyakkan manusia mempunyai smartphone untuk tujuan komunikasi yang pelbagai. Tidak kira di mana anda berjalan di pelusuk dunia ini, sudah pasti akan terjumpa manusia dengan gajetnya yang terdiri dari pelbagai jenama barangan elektronik. Dengan menggunakan gajet itulah mereka menggunakan apps seperti instagram, facebook, dsb. untuk berkongsi cerita di mana saja mereka berada waima di dalam tandas sekalipun! Aneh sungguh manusia zaman sekarang. Walhal tandas adalah tempat untuk melepaskan najis kecil dan besar maka di situlah tempatnya juga untuk 'berselfie' depan cermin besar dalam tandas tersebut.






Abad ke 21 menjanjikan perkara tebaik dalam kehidupan iaitu selfie dalam toilet: Sumber dari Strongmindbraveheart.com

Sumber imej dari: Cyberhaktivist


Masalah kesihatan akibat penggunaan smartphone dengan kerap: Sumber dari: Thewindowsclub.com

Lebih menyedihkan lagi ialah apabila adanya sekumpulan manusia keluar untuk sarapan, makan tengahari atau makan malam, masing-masing akan mengeluarkan smartphone dari poket atau beg tangan mereka dan kemudian senyaplah beberapa ketika tempat duduk mereka itu ibarat dalam dewan peperiksaan. Apabila yang ambil pesan makanan itu sampai di meja mereka barulah hidup semula suasana seperti manusia biasa. Kemudian senyap kembali. Lalu kemudiannya apabila makanan telah sampai pula ke meja makan, perkara pertama yang dilakukan adalah untuk mengambil foto makanan tersebut, selfie atau wefie bersama teman-teman, lalu dikongsikan cerita tersebut di serata dunia. Kalau dapat banyak 'Like' lagilah galak berkongsi cerita kemudiannya! Dan perkara ini boleh berlaku bukan sahaja di kalangan orang-orang kenamaan public seperti artis atau menteri, bahkan orang-orang biasa kini telah menjadi lebih popular dari mereka. Hanya dengan update status yang bukan-bukan, berkongsi cerita dari sumber yang tidak tahu sahihnya maklumat tersebut, nah..dia sekarang jadi popular kerana kedunguannya sendiri. Dialah sensation ketika itu.


Something, somewhere went terribly wrong: Sumber dari sinz.org


Apakah sebenarnya tools yang digunapakai dalam era komunikasi digital ini sebenarnya suatu bahan yang memperbodohkan diri sendiri atau membijakpandaikan individu tersebut? Walaupun pada hakikatnya terdapat pelbagai jawapan yang positif dan negatif, tetapi yang pasti dengan evolusi komunikasi dari kaedah kuno dahulu hinggalah ke arah pemodenan sekarang ini, perkara penting yang dapat kita ambil pelajaran ialah, betapa mudahnya untuk berkomunikasi dengan lebih cepat dan dipermudahkan merentas benua tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menggunakannya. Dengannya, manusia mendefinasikan kepelbagaian penggunaan peralatan komunikasi tersebut jadi lebih bermakna dalam diri mereka. Tidak akan ada manusia dari golongan biasa-biasa yang boleh jadi popular lebih dari artis tanpa evolusi komunikasi. Tidak akan ada jutawan-jutawan industri komunikasi seperti adanya sekarang ini. Tidak akan ada tinggi di pencakar langit menara telekomunikasi megah berdiri membelah langit dan halilintar. Kini semua orang boleh jadi selebriti terkenal dengan definasi mereka tersendiri dengan pengertian apa yang mereka fahami tentang apa itu evolusi komunikasi?


Jeffri Rahman
Producer | Cinematographer | Voice over


Share:

1 comment:

  1. menarik perkongsian ni..:)..btw..if ade adik2 yg berminat nak tau psl program pendidikan awal kanak-kanak dn tourism..bole wsp akak 011-16930576 bolehla bg info ckit..

    ReplyDelete